Bagaimana Adam dan
Hawa hilang segalanya (dari Kejadian 3)
Adam dan Hawa
hidup bahagia bersampingan di dalam kediaman baru mereka yang indah. Segalanya
sempurna – buat seketika.
Sehingga suatu hari di mana segalanya bertukar menjadi
buruk.
Allah ada seorang musuh yang mengerikan. Namanya Syaitan.
Dulunya, Syaitan adalah malaikat ciptaan Allah tetapi dia tidak puas hati.
Malah, dia mahu menjadi Allah sendiri.
Syaitan bertambah sombong, jahat dan penuh rasa benci sampai
Allah menghalaunya keluar dari syurga.
Syaitan naik marah lalu cuba
mencari helah untuk melukakan hati Allah. Dia mahu rencana Allah dirosakkan dan
kisah cinta ini ditamatkan, serta merta. Jadi, dia menyamar diri seperti seekor
ular sambil menunggu datangnya peluang di dalam taman itu.
Hanya satu peraturan Allah yang harus dipatuhi Adam dan
Hawa: “Jangan makan buah dari pokok di tengah-tengah taman itu,” Allah beritahu
mereka. “Kerana jika dimakan, kamu akan ingat yang kau tahu segala-galanya. Kamu
tidak akan percaya kepada Aku lagi. Akibatnya, bayangan maut, kesedihan dan
air mata akan tiba.”
(Ia begini… Allah tahu jika mereka makan buah itu, mereka
akan anggap bahawa mereka tidak perlu Allah lagi. Dan mereka akan cuba
cari kebahagiaan tanpa Allah. Tapi Allah tahu memang tiada kebahagiaan tanpa
Allah, dan hidup tanpa Allah bukanlah hidup sebenarnya.)
Apabila Sang Ular lihat peluangnya tiba, ia mendekati Hawa
dengan senyap. “Adakah benar Allah sayang kepadamu?” bisik ular. “Kalau Allah
betul-betul sayang kamu, kenapa Dia tidak bagi kamu makan buah yang manis,
sedap dan cantik itu? Kasihan engkau, mungkin Allah langsung tidak mahu kamu
gembira.”
Kata-kata ular berdesir dalam telinga Hawa dan masuk seperti
racun ke dalam hatinya. Adakah Allah
sayang aku? Hawa bertanya. Tiba-tiba, dia tidak pasti lagi.
“Percayalah aku,” desas ular itu. “Kamu tak perlukan Allah.
Hanya gigit sekali buah itu dan kamu akan riang gembira buat selama-lamanya”.
Maka, Hawa petik and makan buah larangan itu. Dan Adam pun makan
juga.
Oleh itu, suatu bohong dahsyat memasuki alam. Ia meresap ke
mana-mana jua. Ia tinggal di dalam hati setiap manusia, membisikkan sesuatu
kepada setiap anak Allah: “Allah tidak sayang kepada kamu”.
Ini bukan lamunan semata-mata. Ia seperti mimpi ngeri.
Seekor merpati pintas terbang meninggalkan Adam. Rusa segera
melarikan diri ke dalam belukar. Mereka seperti takut akan sesuatu. Tiba-tiba,
udara terasa dingin. Sesuatu yang aneh sedang berlaku. Walaupun Adam dan Hawa sudah
sekian lama tidak berpakaian, tetapi sekarang mereka mula terasa malu dan
bersalah. Mereka tidak mahu sesiapa pun yang nampak diri mereka. Jadi, mereka bersembunyi.
Pada waktu senja, Allah berjalan dalam taman lalu memanggil
mereka, “Anak-anak?”
Biasanya, Adam dan Hawa suka mendengar suara Allah dan lari bertemu
Allah. Tapi kali ini, mereka lari ke tempat gelap dan bersembunyi daripada Allah.
“Di manakah kamu?” panggil Allah.
“Kami takut pada Mu,” kata Adam. “Kami menyorok”.
“Sudahkah kamu makan buah yang Aku larang kamu makan itu?” Allah
bertanya.
Adam jawab, “Hawa suruh saya makan!”
“Apa yang sudah kamu buat?” soal Allah lagi.
Hawa kata, “Ular yang suruh saya makan!”
Hati Allah amat pilu. Anak-anakNya bukan sahaja melanggar hukum
yang tunggal; mereka juga menyakitkan hati Allah. Mereka telah putus ikatan mesra
dengan Allah. Kini, segalanya akan jadi rosak. Dunia ciptaan Allah mula retak
dan runtuh dan reput. Dari sekarang, segalanya akan mati – walaupun ia seharusnya
kekal buat selama-lamanya.
Lihatkah anda? Dosa telah meresapi dunia Allah yang
sempurna. Ia tidak dapat ditanggalkan. Anak-anak Allah akan sentiasa cuba melarikan diri dariNya dan bersorok di dalam bayangan. Hati mereka akan hancur
dan tidak berfungsi sewajarnya. Allah tidak rela mengizinkan Adam dan Hawa
hidup abadi dalam kesakitan begini, dalam kepahitan tanpa Allah. Hanya satu
cara untuk melindungi mereka.
“Kamu harus pergi dari taman ini sekarang,” kata Allah
kepada anak-anak kesayanganNya, air mata mengalir membasahi pipi. “Ia bukan lagi
tempat kediaman milikmu.”
Tapi sebelum mereka meninggalkan taman syahdu, Allah menyediakan
pakaian bagi anak-anakNya, demi melindungi mereka. Allah mengenakan pakaian di atas
tubuh mereka lalu menghantar Adam dan Hawa keluar taman untuk merentasi suatu
perjalanan yang panjang.
Dalam cerita yang berlainan, semuanya harus berakhir di sini
maka kisah pun…
TAMAT.
Tetapi bukan Cerita ini.
Allah teramat sayang kepada anak-anakNya sehingga tidak rela
membiarkan kisah ini tamat begitu saja. Walaupun Allah tahu pengorbanan yang perlu
ditanggungNya, Dia telah mengidamkan suatu rencana yang paling gemilang.
Suatu hari nanti, Allah akan datang menjemput anak-anakNya
kembali ke pangkuanNya.
Suatu hari nanti, Allah akan memulihkan dunia ini menjadi kediaman sempurna mereka sekali lagi.
Suatu hari nanti, Allah akan memulihkan dunia ini menjadi kediaman sempurna mereka sekali lagi.
Dan suatu hari nanti, Allah akan sapu segala air tangisan dari
mata mereka.
Tahukah anda? Tidak kira apa pun yang telah terjadi, Allah
akan mengasihi anak-anakNya – dengan Cinta Abadi yang Tidak Terhingga, Tidak Mengaku
Kalah, Kekal dan Kebal Selamanya.
Walaupun mereka cuba
lupakan Allah dan melarikan diri, dalam hati nurani mereka, anak-anak Allah yang
sesat itu akan sentiasa rindu kepada Allah dan ingin kembali ke rumah kediaman
mereka yang sudah hilang itu.
Sebelum mereka berpisah, Allah berjanji kepada Adam dan
Hawa: “Ia tidak kekal begini buat selamanya. Aku akan datang menyelamatkan kamu! Aku
akan bertempuh dengan Sang Ular itu, dan menghapuskan semua dosa, kegelapan dan
kepiluan yang kamu lakukan. Aku akan kembali mencari kamu!”
Dan Allah berpegang kepada janjiNya. Suatu hari nanti, Allah
sendiri akan datang.
No comments:
Post a Comment