Cerita Yahya Pembaptis dari Matius 3, Lukas 1, 3 dan Yahya 1
Pada masa lahirnya Isa, seorang lagi bayi turut dilahirkan. Namanya Yahya. Allah ada tugas istimewa untuk anak ini. Dia akan mempersiapkan semua orang untuk menerima kedatangan Isa. Pada hari dia dilahirkan, ayahnya tahu janji Allah kepada Ibrahim akan menjadi nyata – Allah akan hantar Penyelamat yang dinanti-nantikan itu. Dia sungguh gembira maka dia menyanyikan sebuah lagu:
“Kerana Kasih Allah kepada kita
Abadi, Sejati, Tidak Terhingga, Kebal dan Kekal Selamanya,
Syurga telah sampai di bumi.
Allah hantar Cahaya Syurga yang bersinar seperti mentari
KilauanNya menerangi kegelapan hidup kita
Dalam bayangan maut
Demi memimpin kita di jalan damai.”
Apabila Yahya dewasa, dia agak… (secara ikhlasnya) luar biasa! Dia tinggal di padang pasir dan pakaiannya diperbuat daripada bulu unta. Janggut dan rambutnya panjang, kusut dan bersemak. Yang paling ganjil adalah makanan Yahya –dia hanya makan belalang besar dicelup madu hutan (mungkin, lebih sedap kalau tambah sambal belacan?)
Tapi Allah suruh Yahya menyampaikan pesanan penting kepada umatNya:
“Jangan larikan diri daripada Allah. Lari kembali ke pangkuan Allah,” kata Yahya. “Kamu perlu diselamatkan. Aku ada berita gembira – Penyelamat kamu telah datang! Sediakan hatikamu untuk menerima kehadiranNya. Ya! Siapkan diri, kerana Raja kamu telah kembali.”
Himpunan besar mendengar kata-kata Yahya. Mereka kesal akan dosa mereka dan tidak mahu menyorok diri daripada Allah lagi. Mereka mahu dibebaskan. Jadi Yahya membaptis mereka – ertinya, dia menyelamkan mereka ke dalam air dan keluar semula. Ia menandakan niat mereka untuk mengikuti Allah dan memulakan hidup baru.
Pada suatu hari, Yahya sedang membaptis dalam Sungai Jordan di khalayak ramai seperti biasa. Apabila dia lihat seorang lelaki meghampiri tebing sungai, Allah berbisik kepadanya, “Inilah Dia!” Hati Yahya berlonjak girang. Saat yang dinanti-nanti seumur hidupnya telah tiba.
“Lihat,” kata Yahya sementara Isa masuk ke dalam sungai. “Anak domba Allah… yang menghapus dosa seluruh dunia”.
“Akan kamu baptis aku juga?” tanya Isa.
“Siapa diri aku untuk membaptiskan kamu?” jawab
Yahya.
“Mari kita genapi seluruh kehendak Allah,” kata Isa. Jadi Yahya pun menurut petunjukNya.
Tiba-tiba, seperti pintu syurga terbuka luas, sejalur cahaya yang indah menembusi awan dan menerangi Isa dengan sinar keemasan. Titisan air yang berkilau seperti permata berlian jatuh dari rambutNya.
Seekor merpati terbang turun lalu berehat atas Isa. Maka suara bergema dari syurga supaya semua orang dapat dengar dengan jelas: “Inilah Putera-ku yang Kukasihi. Aku berkenan kepadaNya,” kata Allah. “Dengar apa yang dikatakanNya”.
Syurga telah sampai di dunia ini.
Operasi Penyelamatan Allah telah bermula…
No comments:
Post a Comment