Wednesday, May 09, 2012

Tangga Naik Ke Syurga (Bab 4)



Menara Babel, dari Kejadian 11



Nuh dan keluarganya hidup bahagia di dunia yang baru. Anak-anaknya dan cucu-cicitnya berlipat ganda sehingga bumi dipenuhi manusia sekali lagi.

Pada zaman itu, setiap orang bercakap dalam bahasa yang sama jadi kamu tidak perlu belajar Bahasa Jepun atau Swahili atau apa-apa pun. Kerana apabila kamu kata, “Salam sejahtera!” kepada sesiapa pun, mereka faham apa yang kamu maksudkan.

Suatu hari, semua orang sibuk bercakap dan tiba-tiba, mereka dapat buah akal baru: “Mari kita bina sebuah kota yang indah! Ia boleh jadi kediaman kita. Dan kita akan terlindung selama-lamanya.” Lepas itu, mereka fikir: “Mari kita bina sebuah Menara tinggi yang mencakar langit!”

“Ya!” kata mereka. “Semua orang akan sanjung tinggi kita. Lihatlah kehebatan kita di atas sini! Kita boleh pandang rendah semua orang di bawah sana. Barulah mereka tahu kita orang ternama. Kita akan jadi seperti Allah. Kita akan jadi terkenal, selamat, bahagia dan segalanya sempurna.”

Oleh itu, mereka mula kerja pembinaan. Satu demi satu, batu bata dilonggok menjadi menara gergasi yang tinggi… sampai mencecah langit. Mereka bina anak tangga supaya dapat dipanjat seumpama ke puncak syurga.

“Lihat!” sorak mereka. “Kita berjaya! Tengok apa yang dicapai dengan tangan kita sendiri!” Mereka gembira betul dengan kejayaan mereka itu.

Tapi Allah tidak gembira dengan sikap sombong mereka. Allah dapat lihat niat sebenar di sebalik usaha mereka.

Mereka cuba hidup tanpa Allah, tapi Allah tahu ia tidak akan memberi kebahagiaan kepada mereka. Ia tidak boleh membuat mereka selamat selamanya. Jika mereka berterusan begini, ia akan membinasakan diri mereka sendiri. Tapi Allah sayang mereka dan tidak rela membiarkan mereka hidup begini. Lalu Allah halang rancangan mereka.

Suatu pagi, mereka bangun dan pergi kerja seperti biasa. Tapi semuanya sudah berubah – kata-kata mereka kedengaran ganjil dan lucu. Allah telah memberi mereka bahasa yang berbeza! Tiba-tiba, mereka saling tidak memahami apa yang dicakap. Kalau seseorang itu tanya, “Apa khabar?” orang lain ingat dia kata, “Rambut kamu kena bakar?” Tak lucu! Kamu mungkin cakap sesuatu yang baik seperti, “Cantik sungguh pagi ini!” dan kena pukul kerana mereka ingat kamu kata, “Diamlah! Bosan betul budak ini.” (Kamu langsung tidak berpeluang kata, “Maafkan saya” kerana tiada orang yang faham ayat itu juga.)

Memang tidak mudah bekerjasama selepas ini. Mereka selalu gaduh dan lawan, keliru dan marah. Sehingga mereka tidak mampu terus bekerja dan langsung berhenti membina Menara yang dipanggil “Babel” itu.

Akibatnya, manusia pun mula berserak ke merata-rata tempat. (Oleh itu, kita ada bahasa yang berbeza sampai hari ini).

Lihatlah… Tidak kira betapa tinggi mereka panjat… Tidak kira betapa tekun usaha mereka… Allah tahu manusia tidak boleh kembali ke Syurga dengan kemampuan diri sendiri. Manusia tidak perlu sebuah menara bertingkat, mereka perlu seorang Penyelamat. Kerana jalan kembali ke syurga bukanlah anak tangga biasa, tapi Allah sendiri yang membuka lintasan dari syurga.

Manusia tidak mampu mengecapi Syurga, maka Syurga perlu turun mencari manusia. Suatu hari nanti, ia akan menjadi kenyataan.

No comments: