Monday, May 07, 2012

Permulaan Baru (Bab 3)


Permulaan Baru

Bahtera Nabi Nuh, dari Kejadian 6 – 9


Masa berlalu. Dan bumi dipenuhi ramai manusia. Setiap orang di setiap pelosok dunia sudah lupakan Allah. Mereka hanya berbuat jahat selalu.

Hati Allah penuh duka apabila Dia melihat apa yang sudah terjadi kepada bumi kesayanganNya. Ancaman wabak penyakit, kemusnahan dan maut berleluasa di mana-mana – semua yang paling Allah benci.

Tapi Nuh adalah sahabat Allah (sesuatu yang aneh pada masa itu kerana tiada orang lain yang sebegitu). Nuh dengar kata Allah. Dia bercakap dengan Allah. Dia gemar bersama-sama dengan Allah, seperti anda suka bergaul dengan rakan karib anda.

“Nuh”, kata Allah. “Dunia ini sakit tenat. Manusia telah memenuhi bumi Aku dengan kebencian, bukan kasih sayang. Mereka membinasakan diri sendiri… Mereka saling bermusuhan sesama sendiri… dan menghancurkan dunia ciptaanKu. Aku mesti hentikan mereka. Terlebih dahulu, kita harus bina sebuah bahtera.”

(Tahukah anda cara membina sebuah bahtera? Nuh tidak tahu juga. Mujurlah, Allah tahu dan Allah akan ajar Nuh.)

“Ribut akan melanda”, Allah beritahu Nuh. “Tapi Aku akan selamatkan kamu. Aku janji. Aku akan hantar haiwan kepada kamu – binatang yang lompat, lari, gayut, panjat, rangkak dan rayap. Jangan lupa bungkus makanan mereka juga.”

Ribut akan datang menghanyutkan segala kebencian, kesedihan dan kejahatan manusia. Ia akan menjadikan dunia ini bersih semula. Allah merancangkan keselamatan Nuh, tapi dia harus percaya kepada Allah dan melakukan apa saja yang Allah suruh.

Jadi Nuh pun membina sebuah bahtera (ertinya, kapal yang amat besar).

Jiran-jiran bersebelahan Nuh keluar tengok… sambil menuding jari… sambil ketawa, kerana mereka tidak percaya kata-kata Nuh tentang bahtera… ataupun ribut… ataupun perlunya mencari jalan selamat… Dan Nuh kelihatan agak bodoh. Bahtera itu berada di tengah padang pasir, yang jauh daripada lautan biru dan tiada awan pun di atas langit. Siapa yang perlu bawa payung, bahkan sebuah perahu gergasi?

Tapi Nuh tidak peduli sangat apa yang orang lain fikirkan. Dia hanya peduli apa yang dipesan Allah. Jadi dia lakukan apa saja yang Allah suruh.

Apabila ia siap, Allah kata, “Semua naik kapal!” Maka keluarga Nuh dan semua haiwan segera masuk ke dalam. Lepas itu, Allah tutup pintu bahtera.

Hujan lebat pun turun – selama beberapa minit pada mulanya. Ia berterusan sampai beberapa jam. Ia berlanjutan selepas beberapa hari. Curahan air masih tidak henti-henti berminggu-minggu lamanya. Dan kolam kecil bertukar menjadi sungai yang deras… Sungai-sungai bercantum menjadi tasik yang dalam… sehingga banjir meliputi bumi.

Bahtera yang dulunya nampak besar kian kelihatan kerdil dalam gelora ribut. Walaupun ia terumbang-ambing dilanda ombak, gemuruh petir dan kilat bersabung, Allah masih bersama mereka. Allah melindungi mereka selama 40 hari dan 40 malam.

Akhirnya, hujan pun reda. Matahari muncul dan Nuh membuka luas semua tingkap dalam bahtera. “Kita selamat!” sorak mereka.

Nuh melepaskan seekor merpati untuk keluar menerokai dunia baru, dan tidak lama kemudian, ia membawa balik sehelai daun segar dari pokok zaitun. Setiap orang tahu ertinya: Sang merpati sudah dapat cari tanah lapang. Air banjir telah surut.

Bahtera mendarat di atas sebuah gunung. Apabila keadaan sesuai, Allah kata, “Semua keluar!” Lalu mereka turun melompat dan menari di atas tanah yang tidak basah lagi.

Perkara pertama yang Nuh buat adalah berterima kasih kepada Allah kerana menyelamatkan mereka seperti yang dijanji oleh Allah.

Perkara pertama yang Allah buat adalah menjanjikan bahawa: “Aku tidak akan memusnahkan dunia ini lagi.” Seperti pahlawan yang menyimpan busur selepas perang, Allah kata, “Lihat, Aku letak busur Aku di atas awan”. Maka, di atas langit, pelangi cantik muncul seperti busur yang diperbuat dari cahaya.

Ini permulaan baru untuk dunia Allah.

Tidak lama kemudian, semuanya akan kembali buruk. Tapi Allah tidak terperanjat kerana Dia sudah tahu apa yang akan berlaku. Oleh itu, dari awal lagi, Allah ada Rancangan yang lebih bagus. Rencana bukan untuk memusnahkan dunia tetapi untuk menyelamatkannya. Suatu hari nanti, Allah mahu hantar seorang Penyelamat.

Kemarahan Allah terhadap kejahatan, kepiluan dan kematian akan kembali – tetapi ia bukan ditujukan kepada manusia ataupun dunia. Tidak! Busur perang Allah bukan ditujukan ke bawah bumi.

Ia ditujukan ke atas langit, terus ke dalam hati Syurga. 

No comments: