Tuesday, January 08, 2008

Bahasa Malaysia Milik Semua

Karya Keropok Lekor

Isu baru-baru ini yang melibatkan akhbar edaran dalaman Gereja Katolik dan isu pengimpotan bahan-bahan agama daripada Indonesia oleh Sidang Injil Borneo Sabah untuk penggunaan gereja melahirkan perasaan gusar secara amnya. Penggunaan istilah-istilah yang mempunyai kaitan rapat dengan agama Islam dan Kristian, dalam penerbitan dalaman dan bahan-bahan keagamaan khususnya dalam Bahasa Malaysia sebagai bahasa ibunda, telah melahirkan kerisauan oleh Kementerian Dalam Negeri tentang impaknya kepada masyarakat. Namun begitu, syukur kepada Ilahi atas kurnianya, masalah-masalah dapat diselesaikan dengan jasabaik dan persefahaman antara pihak-pihak yang terlibat. Sebagai wadah Bahasa Malaysia, Cahaya Nusantara berpendapat bahawa mungkin elok jika hujah-hujah yang dibincangkan dirumuskan dalam beberapa poin yang berikut, untuk renungan pembaca.

(Poin-poin yang dirumuskan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian peribadi mana-mana penyumbang blog ini)

1. Menurut Presiden SIB Sabah, Pdt. Jerry Dusing, istilah “Allah” telah digunakan dalam ibadah gereja SIB dan Alkitab semenjak penubuhannya pada zaman pra-kemerdekaan lagi oleh jemaah Bahasa Malaysia yang rata-ratanya kaum pribumi di Sabah dan juga dipengaruhi oleh amalan-amalan dan kosa kata agama gereja di Indonesia. Penggunaan Bahasa Malaysia adalah lebih meluas lagi pada masa kini oleh rata-rata muda-mudi yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ibunda dan pengantara. Menurut statistik, penganut agama Kristian di negara ini adalah kira-kira 10% dan hampir 60% daripada mereka menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ibunda mereka.

2. Menurutnya lagi, penggunaan istilah “Allah” untuk mewakili Tuhan oleh orang Kristian seawal zaman pra-Islam lagi dan diteruskan ke zaman moden di negara-negara yang mempunyai pengaruh bahasa Arab, untuk menerangkan konsep ketuhanan monotheistik agama Abrahamik. Bidang etymologi (pengkajian perkataan) mencadangkan bahawa “Allah” bermaksud “Tuhan yang satu" dan mempunyai persamaan dengan “Elaha” dalam bahasa Ibrani yang bermaksud Tuhan.

3. Menurut Bob Kee dalam blognya, beliau berpendapat bahawa penggunaan istilah “Allah” dalam penterjemahan Alkitab mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Dalam analisa sejarahnya, istilah-istilah seperti יהוה (YHWH), אֲדֹנָי (Adonai), אל (El), אלהים (Elohim) dan nama-nama Tuhan dalam bahasa Ibrani sukar diterjemahkan khususnya dalam frasa gabungan אֲדֹנָי יהוה (Adonai YHWH) yang banyak terdapat dalam kitab Perjanjian Lama.

Seperti dalam Bahasa Inggeris, di mana kata “Lord” dan “God” digunakan, teks Injil Matius pertama yang diterjemahkan ke dalam bahasa nusantara oleh Albert Cornelisson Ruyl pada 1629, menggunakan “Allah”. Istilah ini terus digunakan dalam abad-abad berikutnya dimana frasa gabungan Adonai YHWH diterjemah sebagai “TUHAN Allah” dan Elohim sebagai “Allah”.

Oleh yang demikian, adalah penting agar kita dimaklumkan bahawa penggunaan istilah "Allah" bukanlah amalan yang baru, tidak langsung mempunyai sebarang agenda. Malah, penggunaan istilah "Allah" adalah perkembangan sihat ke arah dialog antara agama-agama Abrahamik.

4. Kata “Allah”, di samping kosa kata Arab dan Sanskrit yang mempunyai konsep-konsep agama yang saling berkait seperti syurga, neraka, dosa, doa, sengsara, dsbg tidak ekslusif kepada satu-satu agama. Bahasa Malaysia sebagai bahasa Nusantara dan berpinjam dari pelbagai budaya mampu menguraikan konsep-konsep sains, teknologi dan tidak asing lagi, konsep-konsep agama secara berkesan tidak mengira ajaran Islam, Buddha, Hindu mahupun Kristian. Menteri-menteri Kabinet, seperti Tan Sri Bernard Dompok dan Datuk Zainuddin Maidin dalam kenyataan-kenyataan lepas menyatakan bahawa Bahasa Malaysia adalah bahasa untuk semua.

5. Di samping itu, Dr. Ng Kam Weng berpendapat bahawa gereja mempunyai hak untuk mentadbir soal dalamannya adalam peruntukan Artikel 11 (3) selagi tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan mengamalkan nilai hormat-menghormati dalam suasana masyarakat majmuk di negara ini. Rakyat Malaysia yang berbahasa ibunda Bahasa Malaysia mempunyai hak dan keperluan untuk mendapat bahan-bahan agama dalam bahasa dan budaya mereka sendiri. Dengan kawalselia KDN yang efisien dan bijaksana, serta hubungan transparen, ikhlas dan akrab Gereja-Kerajaan, penulisan-penulisan bagi hal-ehwal dalaman umat Kristian sudah tentu akan diterbitkan dengan bertanggungjawab dan bijaksana.

6. Daripada membazir masa dan tenaga untuk berbalah tentang isu-isu penggunaan kata, adalah lebih bermanfaat agar kita memupuk persefahaman dan menyelesaikan masalah dengan sikap yang terbuka dan progresif. Adalah lebih wajar kita memandang kepada isu-isu yang lebih serius yang dituntut oleh agama seperti menjaga kebajikan anak-anak yang kurang bernasib baik, fakir miskin dan tertindas, memelihara alam sekitar, menegakkan keadilan sosial dan integriti di samping berjiran (dalam ertikata sebenarnya) antara agama untuk menghayati dan menyayangi satu sama lain dengan lebih akrab lagi.

7. Bagi masyarakat Kristian di Semenanjung Malaysia yang beribadah dalam bahasa Inggeris dan ibunda masing-masing, mungkinkah ini satu renungan untuk kita membudayakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian dan ibadah kita? Sejauh mana kita memiliki, membaca dan menghayati Alkitab dalam Bahasa Malaysia? Emosi kita mempertahankan saudara-saudari kita di Malaysia Timur perlulah datang bersama usaha untuk bersama-sama mereka untuk membentuk jatidiri Gereja Malaysia yang bersatu termasuklah mengambil perhatian yang lebih serius terhadap penggunaan bahasa tersebut dalam gereja-gereja tempatan.

8 comments:

EADotCom said...

Syabas!

Anonymous said...

Lebih rencana bahasa malaysia boleh dibaca dari http://cahayanusantara.blogspot.com

Anonymous said...

Amat menyedihkan bila saya melihat blog ini yang hanya ditulis bila isu-isu pengunaan "Allah" diperdebatkan.

Sekian lama umat Kristian yang menghadiri ibadah bukan Bahasa Melayu tidak memperdulikan langsung membaca ataupun menjangkau kepada mereka yang menggunakan bahasa Melayu atau kini dipanggil bahasa Malaysia.

Ini mengambarkan situasi umat Kristian sama ada mereka ini mempunyai rasa cinta terhadap bahasa Kebangsaan bagi setiap individu.

Pokok persoalan utama sekarang adakah umat Kristian mengasihi sesama sendiri walaupun berbeza bangsa seperti yang dituntut dalam AlKitab.

Hanya bila isu-isu ini timbul barulah keluar kenyataan "Bahasa Malaysia Milik Semua".

Walaupun betapa banyak kenyataan yang bagus untuk mempertahankan saudara kita yang menggunakan "Allah" dalam ibadah mereka, yang paling utama ialah sikap kita terhadap sesama sendiri.

keropok lekor said...

Saya bersetuju dengan saudara bm.

Hubungan antara kumpulan-kumpulan etnik dalam Gereja kita masih lagi lemah, kerana gereja kita masih lagi terbahagi kepada kaum, bahasa, budaya dan juga taraf kekayaan.

Hanyalah apabila isu-isu panas dibangkitkan, gereja-gereja akan bersikap reaktif dan cuba mempamerkan perpaduan.

Banyak usaha-usaha daripada NECF dan juga persekutuan pastor-pastor tempatan untuk membuat acara-acara dan ibadah inter-church, tetapi usaha tersebut masih boleh dipergiatkan lagi untuk menggalakkan interaksi yang lebih akrab.

Mungkinkah kita perlu belajar tentang komunikasi lintas-budaya di kalangan jemaah kita?

Mungkinkah masanya tiba agar gereja lebih komited untuk berintegrasi, antara jemaah berlainan etnik, dan juga berusaha menggunakan bahasa yang boleh difahami semua, Bahasa Malaysia?

Anonymous said...

Saya berpendapat saudara BM terlalu kecil hati dan kritikal kepada blog ni kerana isu peribadi dan hanya mencari alasan untuk beri kritikan sebelum meneliti.

Sebelum isu-isu ini timbul, kami telah pun lama cuba memberi sumbangan kepada rakan kami yang berbahasa Malaysia ie forum anakdomba dan sarapanpagi, serta menyediakan terjemahan bahan bacaan BM.

Kalau tak caya, jenguklah CahayaNusantara.blogspot.com

Kita bukanlah orang bijak pandai, usaha kita tak seberapa, tapi kita cuba buat apa yg boleh lar.

Saya pernah dah lama dengar ada orang bijakpandai yg kononnya hendak buat pelayanan utk menterjemahkan bahan bacaan di laman web utk saudara kita yang menggunakan BM dalam ibadah mereka. Tapi cakap banyak, amal tiada. Sungguh kecewa :(

Anonymous said...

saya tidak dapat meninggalkan komen di blog agora terlebih dahulu

-------------------------------
saya kagum dengan jawapan keropok lekor yang sabar dan matang. sekurang-kurangnya, dia mengakui ada masalah perpaduan di kalangan jemaah pelbagai etnik di malaysia.

walaupun niat agora dan cahayanusantara baik tetapi pengalaman saya setelah melayan di kalangan pribumi kristian menunjukkan bahawa keperluan-keperluan yang ada kekal sama seperti berpuluh-puluh tahun dahulu dan masih bersifat lebih kepada jurang sosio-ekonomi dan kurang penghayatan teologi. ini boleh diperdebatkan.

sekiranya saudara bm sudi, kritis itu bolehlah ditambah dengan cadangan-cadangan untuk mengeratkan hubungan akrab sesama jemaah sendiri. saudara bm sendiri telah menyarankan agar kami mengasihi satu sama lain. silalah tunjukkan jalannya.

manakala, saya ingin kemukakan cadangan mungkinkah cahayanusantara itu mampu mempelopori usaha bermuafakat untuk memperluaskan fokusnya daripada penterjemahan rencana-rencana berkualiti sahaja kepada satu usaha padu untuk meningkatkan suara, status sosial dan ekonomi kristian pribumi kepada taraf yang sama dengan kristian bukan pribumi yang kebanyakannya terdiri daripada tionghua kelas sosial tinggi dan sederhana. saya pasti ada pakar ekonomi kristian yang bijak pandai yang sudi menolong. bagaimana pula dengan sumbangan aktivis-aktivis tempatan?

seringkali saya juga bertanya secara diam-diam dan kini terbuka, bilakah pucuk pimpinan di dalam badan-badan kristian akan mencerminkan pecahan komposisi penganut kristian Malaysia? kenapakah kebanyakan jemaah pribumi kristian masih bertaraf daif? bukankah di dalam badan Kristus itu, tiada perbezaan kaum, kaya mahupun miskin?

saya bukan berniat memperlekehkan mana-mana pihak, menyembah mammon ataupun mengkhutbahkan social gospel. sekiranya penulisan saya ini telah menyinggung mana-mana pihak, saya memohon maaf. Yang baik semuanya daripada Allah. Yang buruk datangnya daripada diri saya yang fana.

Anonymous said...

Terima kasih Johan atas komen saudara. Persoalan yang penuh refleksi kepada kita semua.

Usaha merapatkan jurang antara gereja BM dan gereja-gereja etnik lain mungkin merupakan satu cabaran terbesar kepada kita semua.

Perbezaan budaya, taraf ekonomi, pendidikan dan penghayatan teologi tidak patut dipandang remeh, atas label "perpaduan" yang cetek.

Namun demografi gereja-gereja di Malaysia, adalah refleksi kepada polarisasi dan ketidakseimbangan sosial di negara kita.

Setakat mana kita boleh berusaha merapatkan jurang perbezaan, juga banyak bergantung kepada komitmen di kalangan pemimpin-pemimpin gereja, masyarakat gereja, dan juga iklim sosio-politik masyarakat yang rata-ratanya masih lagi terbahagi.

Kita mungkin perlukan political will yang kuat daripada pemimpin-pemimpin kita untuk mengusahakan perubahan, walau sekecil mana.

Saya cuma boleh "bergoblok" dalam alam cyber dan cuba meningkatkan kesedaran di kalangan pembaca.

Saudara Johan pun kalau sudi, sumbanglah buah fikiran saudara dalam bentuk rencana yang boleh dikongsikan dalam web kami.

Moga-moga usaha murni ini akan mempengaruhi muda-mudi kristian yang akan menerajui gereja pada masa depan.

Dave said...

Selamat datang kembali, Johan! Penuh minat sekali saya baca cadangan-cadangan saudara & keropok yang rangup dan bernas. sesungguhnya, kita perlu lebih ramai lagi di kalangan kita yang prihatin dengan isu perkauman, penghayatan teologi, jurang ekonomi dan berbuat sesuatu untuk memperbaiki keadaan...

Banyak sekali isu hangat yang dihadapi jemaah di dunia serba canggih ini, dan bukan seorang dua yang mampu menyelesaikannya. Banyak masalah yang sudah ada sebelum kita dilahirkan dan barangkali berterusan bila kita kembali ke sisi Allah nanti, jadi aneh juga bila ada yang sedih kerana blog ini cuba menarik perhatian jemaah kepada isu isue sebegini :)

Amin! Saya suka sekali saranan ini: "Sekiranya saudara bm sudi, kritis itu bolehlah ditambah dengan cadangan-cadangan untuk mengeratkan hubungan akrab sesama jemaah sendiri.. silalah tunjukkan jalannya." Mudah kita bagi kritikan, tapi cadangan membina lebih susah dan lebih penting

Johan, saya juga berminat dgn cadangan saudara untuk cahayanusantara "mempelopori usaha bermuafakat untuk memperluaskan fokusnya daripada penterjemahan rencana-rencana berkualiti sahaja kepada satu usaha padu untuk meningkatkan suara, status sosial dan ekonomi kristian pribumi kepada taraf yang sama dengan kristian bukan pribumi"

Saya juga pasti kita sedar usaha sebegini memerlukan keringat, wang ringgit, daya fikir, kemahiran dari pelbagai lapisan masyarakat.. contohnya, seperti johan katakan - di manakah pakar ekonomi kristian yang bijak pandai yang sudi menolong? Siapakah aktivis-aktivis tempatan yang prihatin?

Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama. Kami sudi mempersembahkan apa yang kita ada untuk membantu. Sudikah saudara tunjukkan jalannya? Saya sokong jemputan keropok agar saudara memberi sumbangan dlm blog kecil-kecilan kami di cahayanusantara :)