Wednesday, April 25, 2012

Setiap Cerita Bisik NamaNya (Pengenalan)



Langit menceritakan kebesaran Allah;
Cakerawala memanggil, “Lihatlah karya ciptaan Allah!”
Hari demi hari… Malam berganti malam…
Mereka menyampaikan ilmu kepada kita 

(Mazmur 19:1-2, parafrasa)

Tulis Allah, “Aku Kasihi Kamu” – di atas langit, di muka bumi dan di dasar laut. Pesanan Allah terpahat di mana-mana jua! Kerana segalanya dicipta demi mencerminkan rupa Sang Pencipta – supaya kita dapat kenal Allah, agar hati kita berlagu.

Lihat-lah burung kenyalang melayang tinggi. Renungi-lah gaya ikan keli bermain dalam sungai. Perhatikan lambaian pokok kelapa di-buai bayu.

Malah Allah suratkan kasih-Nya dalam sebuah buku juga. Namanya: “Alkitab”.



Ramai yang fikir Alkitab ialah buku para wira serta wirawati – orang cerdik dan gagah yang harus anda contohi. Ya, memang ada pahlawan dan serikandi dalam Alkitab, tapi (segera akan anda dapat tahu) mereka semua tidak-lah sempurna. Mereka buat salah (seringkali, secara sengaja!) Mereka penakut dan cabut lari. Kadangkala, mereka juga berlaku jahat.

Tidak, Alkitab itu bukan buku hukum ataupun buku wira contoh semata-mata. Sebenarnya, Alkitab adalah sebuah Cerita – tentang seorang Pengembara muda dari negara jauh yang datang menawan kembali harta kesayangannya. Ia kisah cinta tentang seorang Putera berani yang meninggalkan takhtaNya, mahligaiNya – segalanya – untuk menyelamatkan orang yang dikasihi. Ia seperti dongeng paling indah yang telah tiba-tiba menjelma di dunia nyata.

Oh ya, yang paling bagus tentang Cerita ini – ia adalah benar.

Ada banyak cerita dalam Alkitab, tapi semuanya menyampaikan sebuah Cerita Utama. Cerita tentang bagaimana Allah mengasihi anak-anakNya dan datang membebaskan mereka.

Setiap halaman Alkitab adalah sebahagian Cerita ini. Anda akan temui seorang bayi di dalam kalbu hikayat ini. Setiap cerita dalam Alkitab bisik NamaNya. Dia seakan penyelesaian suatu teka-teki. Secara tak disangka, anda dapat lihat suatu gambaran lengkap kerana kedatanganNya.

Dia bukan bayi biasa. Segalanya bergantung kepada Bayi ini. Suatu hari, Dia akan…
Oh, tunggu sebentar…

Cerita kita harus bermula di zaman yang paling awal sekali…

Pada mulanya…

No comments: